FEBRUARI 2022

Kerajaan Sarawak Hargai Sumbangan Penyelidik UNIMAS


KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang sudah bertapak hampir tiga dekad dan sebagai nadi ilmu di negeri ini akan terus komited dalam membangunkan modal insan beretika, berkemahiran dan bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Emas berkata, keberadaan UNIMAS memberi impak kepada perkembangan dan kemajuan negeri Sarawak.

“Saya turut menaruh harapan kepada ahli-ahli akademik UNIMAS agar dapat mempergiatkan aktiviti penyelidikan supaya memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-25 di sini.

Beliau berkata, kejayaan melahirkan ramai graduan setiap tahun membuktikan UNIMAS nekad menjadi pemacu kecemerlangan seterusnya berupaya melahirkan graduan yang berkemampuan dan setanding dengan graduan antarabangsa.

UNIMAS, katanya, sebenarnya telah bergerak seiringan dengan kerajaan Negeri dalam membantu mentransformasikan Bumi Kenyalang menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama UNIMAS dan beberapa agensi kerajaan lain telah menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak tahun lalu bernilai RM190 juta.

Pusat itu juga akan memberi tumpuan kepada penghasilan ubat serta kaedah rawatan baharu yang boleh digunakan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, kata Uggah sambil menzahirkan penghargaan kepada penyelidik UNIMAS dalam membantu negara berperang dengan virus Covid.

Menurut beliau, fokus utama kerajaan sekarang untuk mengatasi masalah bekalan air bersih dan tenaga elektrik di pedalaman dan sedang berusaha membangunkan infrastruktur internet berkelajuan tinggi bagi menyokong ekonomi digital Sarawak.

“Kerajaan berharap dengan kerjasama UNIMAS dapat meneruskan projek mikro hidro elektrik di kampung-kampung pedalaman Sarawak sebelum projek elektrik dapat dihubungkan ke kawasan tersebut,” katanya.

Perubahan teknologi dan peralihan dari sistem ekonomi konvensional ke ekonomi digital, tambah Uggah, merupakan anjakan yang perlu dihadapi oleh graduan untuk mendepani kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup komuniti dunia.

“Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama, ketika masyarakat dunia sudah mula mengadapati perubahan teknologi yang menjadi keperluan masa hadapan,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

GAMBAR:UNIMAS

Sumber dari : Jiwa Bakti